Semua Orang Diwajibkan Belajar Hingga Ke Universiti

 

Kalau tahun 60-an dulu, seseorang yang lulus sijil SPM atau MCE sudah dianggap tinggi pencapaian akademiknya. Di waktu itu kalau lulus SPM pun sudah mudah untuk mendapat pekerjaan yang baik, dan untuk bekerja di jabatan kerajaan sebagai kakitangan rendah atau buruh kasar, hanya memerlukan lulus sijil SRP (PMR) atau LCE sahaja.

Tetapi sekarang, keadaan telah berubah, ada sijil diploma pun belum tentu boleh dapat pekerjaan yang bagus. Malah ramai graduan yang mempunyai ijazah pertama (sarjana muda) tidak mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

Matlamat atau dasar pendidikan kita sekarang ialah untuk menjadikan semua rakyat mendapat pendidikan hingga ke peringkat universiti, sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pertama. Masalahnya, dapatkah kita menyediakan kepada semua mereka itu peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka?

Bila sudah ada ijazah pertama, pekerjaan yang setaraf dengan sijil mereka itu adalah menjadi doktor perubatan, doktor gigi, jurutera, pegawai penyelidik, akauntan, peguam, hakim, pegawai tadbir, juruukur, guru sekolah menengah dan pensyarah. Tetapi bilangan pekerjaan tersebut adalah terhad dan tidak akan dapat menampung jumlah pemegang-pemegang ijazah pertama yang ada.

Tentu mereka akan rasa rendah diri dan malu jika bekerja sebagai kerani, jururawat dan juruteknik sahaja. Belajar tinggi-tinggi tetapi kerja sebagai ‘kuli’ saja, mana ada kelas.

Tetapi dalam keadaan terdesak, mereka tetap jugalah bekerja dan membuat apa saja kerja kerana sudah tidak ada pilihan, untuk meneruskan kehidupan, dan terpaksalah membuang rasa malu kerana mengorbankan ‘status’ akademik mereka.

Adakah satu langkah yang tepat untuk memasukkan semua rakyat ke universiti?

Sekarang ini, setiap orang rakyat Malaysia diwajibkan melalui alam sekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima. Apakah pada masa akan datang, perlu diwajibkan pula setiap rakyat mesti belajar hingga ke peringkat universiti?

Sekarang ini pun sudah timbul dakwaan dari berbagai pihak, graduan yang keluar dari universiti-universiti tempatan tidak berkualiti. Kita mungkin berbangga dengan kuantiti graduan yang dihasilkan tetapi bagaimana dengan kualitinya?

Universiti hanya boleh mengajarkan ilmu pengetahuan kepada semua orang, tetapi universiti tidak boleh mengajarkan kebijaksanaan kepada seseorang. Kebijaksanaan adalah anugerah Tuhan kepada seseorang, samalah seperti rupa paras yang cantik dan kelunakan suara, tidak semua orang dianugerahkan dengan rupa paras yang cantik dan suara yang lunak.

Kita boleh saja masuk kelas dandanan dan kecantikan atau kelas vokal, tetapi bukanlah jaminan untuk menjadikan kita cantik atau menjadikan suara kita lunak.

Oleh itu, para graduan yang telah lulus ijazah pertama dalam bidang yang sama dari universiti yang sama, mungkin kebanyakan dari mereka itu sekadar mempunyai ilmu pengetahuan sahaja, tetapi bilangan yang memiliki kebijaksanaan tidaklah ramai.

Sudah menjadi lumrah alam semulajadi, bilangan orang yang bijak, orang yang berfikiran kreatif, orang yang berbakat seni, orang yang berupa paras cantik, orang yang petah berkata-kata dan orang yang bersuara lunak, tidak ramai dalam sesuatu kelompok masyarakat itu. Hakikat ini perlu kita terima dalam menentukan hala tuju universiti kita.

Jika kita sebagai majikan, kita bukan sahaja mahukan pekerja yang ada ilmu pengetahuan tetapi lebih dari itu, kita mahukan pekerja juga seorang yang bijak.

Kerja seorang juruteknik hanya perlu tahu membuat kerja-kerja yang diarahkan kepadanya berasaskan pengetahuan yang dipelajarinya, tetapi kerja seorang jurutera memerlukan kebijaksanaan untuk mengolah, menelesaikan masalah, merekabentuk dan mencipta sesuatu yang baru berasaskan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya.

Oleh itu antara juruteknik dan jurutera mungkin mempunyai ilmu pengetahuan yang sama, yang membezakan antara mereka hanyalah kebijaksanaan.

Sistem universiti di Malaysia hari ini memungkinkan semua orang boleh memasuki universiti dan peluang untuk mereka mendapat ijazah pertama adalah sama. Sehingga sukar untuk kita membezakan siapa yang patut menjadi jurutera dan siapa yang patut jadi juruteknik, siapa yang patut jadi doktor dan siapa yang patut jadi pembantu hospital (HA) atau jururawat, siapa yang patut jadi arkitek dan siapa yang patut jadi pelukis pelan.

Oleh itu kita tidak hairan dengan rungutan orang ramai hari ini, kalau mereka temui doktor, pensyarah, guru, jurutera, pegawai tadbir, peguam dan arkitek yang tidak berkualiti dalam menjalankan tugas.

Kalau di zaman 80-an dulu, bilangan universiti di negara kita tidak banyak, hanya pelajar-pelajar yang betul-betul cemerlang dalam akademik sahaja yang dapat masuk universiti. Kalau sudah dapat masuk pun belum tentu mereka boleh menamatkan pengajian dengan mudah, malah ramai yang kandas separuh jalan dan dibuang dari universiti. Graduan yang lulus dengan kelas pertama pun terlalu sedikit bilangannya dan mungkin tidak ada langsung. Tidak hairanlah kalau ketika itu, kerja yang mencari graduan universiti, bukan graduan yang mencari kerja.

Apakah kita masih juga mahu meneruskan dasar semua orang mesti masuk universiti setelah melihat kesan-kesan negatifnya kepada masyarakat?

Memang bagus kalau semua orang masuk universiti, semua orang akan ada ilmu pengetahuan, tetapi kita perlu juga ada mekanisma untuk menentukan siapa patut jadi doktor dan siapa patut jadi jururawat, siapa patut jadi jurutera dan siapa patut jadi juruteknik. Tidak semudah untuk menentukan siapa patut jadi penyanyi, kerana tidak perlu melihat kepada sijil untuk layak jadi penyanyi, cukup dengan mendengar suara saja.

Mungkin kita boleh asingkan seperti berikut; sesiapa yang dapat pangkat A dan B lulusan ijazah pertama, boleh jadi doktor dan jurutera, manakala sesiapa yang dapat pangkat C dan D lulusan ijazah pertama, hanya boleh jadi jururawat dan juruteknik.

Tetapi cara itupun belum tentu dapat menyelesaikan masalah, banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Pangkat A di universiti UM tentu tidak sama tarafnya dengan pangkat A di universiti UiTM. Cara penilaian antara universiti adalah berbeza, soalan peperiksaan mereka tidak sama, tidak seperti soalan peperiksaan SPM yang sama untuk seluruh Malaysia.

Sumbangan : Alias Mohd Yusof

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>